YAB MB PAHANG: Momentum minyak dan gas Pantai Timur dijangka terus merangsang pertumbuhan OGSE ketika peralihan tenaga

KUANTAN, 27 JULAI 2023: Industri minyak dan gas di Pantai Timur menunjukkan momentum pertumbuhan berterusan yang memberi petanda baik dalam merangsang pertumbuhan syarikat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas atau OGSE, terutamanya ketika berdepan dengan peralihan tenaga, kata YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

 

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Mohamad Nizar bin Mohd Najib, EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang selaku wakil Menteri Besar Pahang di Jerayawara OGSE Pantai Timur 2023, Wan Rosdy berkata, industri minyak dan gas Pantai Timur telah mencipta lebih 5,000 peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan komited tempatan dan asing sebanyak RM18.2 bilion sehingga suku kedua 2023.

 

Industri minyak, gas dan tenaga di Pahang pula telah memperolehi pelaburan komited sebanyak RM800 juta bagi separuh tahun pertama 2023. Pencapaian ini telah menyumbang sebanyak 8.4% kepada keseluruhan sasaran pelaburan komited negeri Pahang bagi semua sektor.

 

“Memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh industri OGSE terhadap industri minyak, gas dan tenaga, kami menjangkakan industri OGSE dapat memanfaatkan peluang perniagaan yang ketara daripada perkembangan industri minyak, gas dan tenaga yang berterusan,” beliau berkata.

 

Beliau turut berkata, dengan industri minyak dan gas kini berdepan peralihan tenaga yang memerlukan kepakaran dalam bidang-bidang yang berkaitan seperti sektor tenaga boleh baharu, syarikat-syarikat OGSE Pantai Timur patut memanfaatkan sokongan dan bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan melalui inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju OGSE Nasional 2022-2030 untuk mengukuhkan dan meningkatkan daya saing syarikat OGSE, termasuk dalam bidang-bidang berkaitan tersebut.

 

Mohd Yazid Ja’afar, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) pula menyarankan supaya syarikat-syarikat OGSE merancana aktiviti-aktiviti perniagaan dan pelaburan syarikat dengan mengambilkira dasar yang digubal oleh Kerajaan melalui OGSE Blueprint, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) yang diluncurkan di Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Julai, serta Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040.

 

Beliau berkata, “Dalam merealisasikan aspirasi rendah karbon Negara, MPRC menyambut baik usaha Kerajaan melalui DTN dan NETR untuk mempercepatkan pembangunan sistem tenaga yang mampan yang secara tidak langsung akan memberi impak positif kepada para pemain industri OGSE, di samping inisiatif-insiatif sedia ada di bawah Pelan Hala Tuju OGSE Nasional 2022-2030.”

 

Mohd Yazid juga berkongsi bahawa melalui Pelan Hala Tuju OGSE Nasional 2022-2030 di bawah seliaan MPRC, sebanyak 54 syarikat OGSE dari seluruh negara telah diluluskan untuk menerima bantuan pembiayaan sebanyak RM12.9 juta di bawah Geran Pembangunan OGSE.

 

Tiga syarikat OGSE dari Pantai Timur telah menerima RM250,000 setiap satu iaitu Admiral Quality Tech Sdn Bhd, Petrucom Sdn Bhd dan Corroserv (M) Sdn Bhd. Geran Pembangunan OGSE merupakan geran padanan 70:30 yang bertujuan untuk pembangunan teknologi, inovasi dan usaha ekspot barangan dan perkhidmatan di kalangan syarikat OGSE.

 

Bertemakan "Membuka Peluang dalam Peralihan Tenaga", Jerayawara OGSE Pantai Timur 2023 dianjurkan oleh MPRC dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang melalui Bahagian Perancang Ekonomi Pahang dan telah dihadiri oleh hampir 300 peserta dari wilayah Pantai Timur dan rakan kerjasama termasuk PETRONAS, HRDCorp, MATRADE serta agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang lain.

 

-TAMAT-

 

Mengenai Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC)

Ditubuhkan pada April 2011, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) merupakan sebuah agensi Kementerian Ekonomi yang dimandatkan untuk membangun dan memajukan sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia selain turut bertindak sebagai penasihat dasar kepada Kerajaan dalam mengemudi industri minyak, gas dan tenaga. Ketika negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia memulakan peralihan tenaga, MPRC seterusnya menyokong syarikat OGSE untuk mengambil peluang meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih lestari dan mampan bagi membantu perkembangan perniaagan di dalam industri ini.

 

Untuk pertanyaan media, hubungi: Ellina Badri ellina.badri@mprc.gov.my