Exco Terengganu dan MPRC Sarankan PKS OGSE Raih Manfaat dari National OGSE Industry Blueprint 2021 - 2030

Kuala Terengganu, 30 Mei 2022: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (Oil & Gas Services & Equipment – OGSE) disarankan meraih manfaat dari Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan (OGSE Blueprint) 2021-2030 untuk menangani cabaran yang sedang dihadapi serta untuk mencapai kemampanan jangka panjang.

Dato' Haji Tengku Hassan Tengku Omar​, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Kerajaan Negeri Terengganu berkata, “Sektor OGSE telah menghadapi pelbagai cabaran sejak kejatuhan harga minyak pada tahun 2014. Keadaan ini turut diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 dengan penurunan permintaan bahan api di peringkat global. Persekitaran ini telah mendedahkan kelemahan struktur yang dihadapi oleh sektor OGSE.”

Menurut beliau, kelemahan sektor OGSE tempatan termasuk pembangunan teknologi yang terhad, jurang bekalan dalam saluran modal insan, daya saing eksport terhad dan kekurangan akses kepada pembiayaan perlu diberi perhatian bagi menjamin kemampanan jangka panjang sektor OGSE.

Tambahan pula, industri minyak & gas juga sedang berdepan peralihan tenaga sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim dengan menganjakkan pengeluaran dan penggunaan tenaga daripada penggunaan bahan api fosil, termasuk minyak dan gas asli, kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin, air dan solar.

Oleh itu, PKS OGSE diseru untuk memanfaatkan OGSE Blueprint 2021-2030 untuk menambah nilai jangka panjang, membantu dalam menyahut peluang dan cabaran semasa serta untuk mengambil bahagian dalam peralihan tenaga yang dihadapi pada masa ini, kata Dato' Haji Tengku Hassan.

OGSE Blueprint mengandungi sejumlah 31 inisiatif, dari mana 11 inisiatif telah dilancarkan sejak April 2021, jelaskan Dato' Haji Tengku Hassan semasa memberi ucaptama di Terengganu OGSE Roadshow 2022 yang dianjurkan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di sini pada hari ini.

Menurut Mohd Yazid Ja’afar, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MPRC pula, pelaksanaan inisiatif OGSE Blueprint sedang berjalan dengan lancar dengan tercatatnya beberapa pencapaian ketara setakat ini.

“Antaranya ialah Geran Pembangunan OGSE ataupun OGSE Development Grant iaitu inisiatif memudahkan pembiayaan pembangunan teknologi, inovasi dan usaha ekspot barangan dan perkhidmatan di kalangan syarikat OGSE.

“Sukacita saya berkongsi di sini bahawa enam syarikat OGSE daripada Terengganu telah dianugerahkan pembiayaan sebanyak RM1.29 juta di bawah inisiatif ini daripada 30 syarikat yang telah layak menerima bantuan sebanyak RM6.98 juta setakat ini,” kata Mohd Yazid.

Menurutnya lagi, inisiatif OGSE Blueprint yang lain termasuk penganugerahan OGSE Status kepada syarikat OGSE tempatan. OGSE Status ialah pengiktirafan yang diberikan kepada syarikat OGSE Malaysia yang aktif, berkemampuan dan berkebolehan dalam sektor OGSE untuk meningkatkan profil syarikat dan menyediakan akses pasaran yang lebih luas serta memudahkan akses pembiayaan.

“Sehingga kini, 80 syarikat OGSE tempatan telah dianugerahkan OGSE Status, dan lebih banyak syarikat sedang dinilai untuk status ini,” kata beliau.

Dilancarkan pada April 2021, OGSE Blueprint yang diselia oleh MPRC, dijangkakan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang berikutnya dari tahun 2023 seterusnya. Terengganu OGSE Roadshow 2022 yang merupakan OGSE Roadshow yang julung kali dianjurkan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan MPRC, bertujuan untuk mempromosi inisiatif dan manfaat OGSE Blueprint untuk PKS OGSE. OGSE Roadshow seterusnya akan dianjurkan di negeri Sarawak pada bulan Jun 2022.